Property Insight > Featured Articles > Bandar Sri Sendayan: Memelihara Persekitaran, Memperkaya Kehidupan

Bandar Sri Sendayan: Memelihara Persekitaran, Memperkaya Kehidupan

By: Nasuha Badrul Huzaini

Bandar Sri Sendayan yang terletak di bahagian barat Seremban adalah kawasan perbandaran seluas 6,000 ekar yang dibangunkan oleh Matrix Concepts Holdings Bhd (MATRIX). MATRIX adalah pemaju pembangunan yang terkenal dengan rekod cemerlangnya dalam projek pembangunan di dalam negara mahupun di pasaran luar negara. Sehingga akhir tahun kewangan 2019, MATRIX telah berjaya menyiapkan dan menyerahkan lebih daripada 10,224 hartanah kediaman dan komersil di Malaysia dan Australia. Gabungan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) semasa dan dalam perancangan sehingga 2027 Kumpulan berkenaan dianggarkan bernilai RM15 bilion.

Projek pembangunan pertama di Bandar Sri Sendayan bermula pada 2006 dan ia digambarkan akan menjadi kawasan perbandaran yang melambangkan kehidupan dikelilingi alam tropika yang menenangkan dan disokong oleh komponen kediaman, komersil, rekreasi dan institusi.

Dengan GDV sebanyak RM8.13 bilion, Bandar Sri Sendayan adalah sebahagian daripada Kawasan Pertumbuhan Lembah Visi Malaysia dan ia dijangka mempunyai kepadatan populasi sehingga 120,000 apabila siap dibangunkan sepenuhnya pada 2027.

Projek pembangunan jangka panjang itu merangkumi beberapa komponen yang sudah siap dibina termasuklah kawasan kediaman, kawasan komersil, Matrix Global Schools, d’Tempat Country Club, Sendayan Green Park, X Park dan d’Sora Boutique Hotel.

Pembinaan rumah kelab di Bandar Sri Sendayan dibuat bagi memenuhi keperluan aktiviti sukan dan rekreasi bagi penduduk di kawasan berkenaan. Apa yang menarik, penduduk di sini boleh menikmati kemudahan yang sama seperti apa yang ditawarkan di kondominium termasuklah kolam renang bersaiz Olimpik, gimnasium, gelanggang tenis, gelanggang badminton, bilik snooker, pusat bowling, ruang permainan kanak-kanak, bilik membaca, spa, bilik mesyuarat dan juga kedai makanan dan minuman.

Pada masa ini, terdapat sekitar 8,000 unit kediaman dan 97 unit kedai sedang dibina dan beberapa projek baharu dijangka akan dilancarkan di Bandar Sri Sendayan tidak lama lagi termasuklah pusat membeli-belah Merchant Square, unit kediaman, ruang kedai pejabat serta kilang berkembar.

Pembangunan perbandaran yang menyeluruh ini juga merangkumi beberapa jenis rumah kediaman seperti rumah berkembar setingkat dan dua tingkat, rumah Semi-D dan juga banglo resort yang dijangka akan dilancarkan di masa hadapan.

Setiap fasa projek di sini mempunyai keunikannya yang tersendiri daripada aspek perancangan susun atur yang mendalam yang menyaksikan aspek praktikal menjadi keutamaan. Selain daripada itu, susun atur yang fleksibel turut direka untuk membolehkan pemilik rumah tidak berhadapan dengan pelbagai kesukaran jika mereka mahu mengubahsuai kediaman mereka di masa akan datang. Antara unsur utama yang dimasukkan di dalam fasa kediaman ini termasuklah dapur basah dan dapur kering yang lengkap, bilik tetamu yang boleh memuatkan katil bersaiz ‘Queen’, rekaan tangga berbentuk L, siling yang tinggi serta empat bilik tidur yang setiap satunya dilengkapi dengan bilik mandi.

Selain daripada itu, memandangkan aspek keselamatan dan pengawalan menjadi keutamaan, Bandar Sri Sendayan menyediakan ciri keselamatan yang canggih dan akses yang ketat untuk memasuki kawasan berkenaan. Ini termasuklah Langkah membuat semakan latar belakang menyeluruh ke atas kakitangan keselamatan, pemantauan CCTV serta rondaan pengawal secara berkala bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin semasa mereka berada di dalam kawasan berkenaan. Boleh dikatakan, anda berada di dalam kawasan yang selamat apabila anda menjejakkan kaki di Bandar Sri Sendayan.

Share it:

Image here

If you have any suggestions on this article, please send to editor@propertyinsight.com.my.

Comments

comments