Property Insight > Featured Articles > Jangan lupa masukkan lima klausa ini dalam perjanjian sewa

Jangan lupa masukkan lima klausa ini dalam perjanjian sewa

Keputusan untuk menyewakan rumah kepada orang luar sebenarnya boleh dianggap sebagai satu pertaruhan kerana jika anda bernasib baik, anda akan mendapat penyewa yang bertanggungjawab.

Bagaimana jika anda mendapat penyewa dari neraka? Mahukah anda menanggung kerugian berpanjangan? Semak lima klausa penting ini dan pastikan ia terkandung dalam perjanjian sewa anda.

1. Nyatakan tujuan penggunaan hartanah

Sentiasa pastikan bakal penyewa memberitahu anda terlebih dulu apa yang mahu mereka lakukan dengan unit hartanah anda. Jika perlu, masukkan klausa untuk menyekat penyewa daripada membuat ‘sublet’ tanpa persetujuan bertulis dan ia akan memudahkan anda menguruskan siapa yang akan menghuni rumah itu.

2. Siapa bayar bil

Secara umumnya, menjadi tanggungjawab penyewa untuk membayar bil utiliti (air, elektrik dan pembetungan) dan tuan rumah akan membayar yuran pengurusan. Bagaimanapun, untuk mengelakkan kekeliruan, adalah penting untuk diletakkan secara jelas dalam perjanjian siapa yang perlu membayar bil dan tempoh masa yang diberikan untuk pembayaran.

3. Pengurusan hartanah

Penyewa selalunya bertanggungjawab untuk menjaga unit hartanah dan sebarang kerja pembaikan kecil perlu dilakukan sendiri manakala pemilik rumah perlu menyelenggara struktur utama seperti dinding, longkang dan bumbung.

Sebaiknya, masukkan klausa ini dengan jelas di dalam perjanjian sewa supaya kedua-dua pihak tahu tanggungjawab masing-masing.

4. Kembalikan hartanah dalam keadaan baik

Sebagai pemilik, anda perlu memastikan ada klausa di dalam perjanjian yang menyebut penyewa perlu memulangkan hartanah dalam keadaan asal dan pemulangan kunci perlu dibuat mengikut tarikh yang ditetapkan.

5. Perkasakan diri sebagai pemilik rumah

Anda sebagai pemilik rumah boleh menyatakan di dalam perjanjian bawah jika penyewa gagal memenuhi tanggungjawabnya dalam tempoh yang ditetapkan, anda boleh mengambilalih kerja berkenaan dan penyewa harus menanggung kos berkenaan.

Satu lagi tips tambahan yang boleh dibuat sebagai pemilik rumah adalah anda perlu mengambil gambar keadaan rumah sebelum dan selepas diduduki penyewa, dan siapa tahu ia boleh digunakan untuk membantu anda di kemudian hari.

Share it:

Image here

If you have any suggestions on this article, please send to editor@propertyinsight.com.my.

Comments

comments